Inspira



Proton Inspira menggunakan enjin siri 4B 16 DOHC MIVEC dari Mitsubishi seperti mana yang boleh dilihat pada model Mitsubishi Lancer EX dan GT. Varian 1.8 menggunakan enjin 4B10 dan 4B11 untuk varian 2.0. Kepada penggemar-penggemar kereta sedan berprestasi tinggi, enjin tersebut yang dilengkapi sistem MIVEC sudah tentu antara jenis enjin yang diidam-idamkan, tambahan pula reputasi dan populariti sistem MIVEC hampir sama dengan sistem VTEC dari Honda.
Proton Inspira dengan enjin 1.8 menghamburkan kuasa kuda setinggi 143ps dan 177Nm kuasa tork. Varian tertinggi dengan enjin 2.0 liter pula mempunyai kuasa yang lebih mewah iaitu sebanyak 155ps dan 199Nm tork. Dengan kuasa setinggi itu, tidak syak lagi Proton Inspira antara kereta sedan berprestasi tinggi keluaran Proton walau tanpa bantuan sistem turbo. 

Sistem kendalian dan gantungan (suspension) Proton Inspira pula menerima sentuhan daripada Lotus dan seperti apa yang diberitahu oleh Proton, kawalan dan pengendalian pemanduannya kini menjadi lebih cekap dan selesa. Selain itu menurut Proton, Inspira menerima penarafan setinggi 5 bintang untuk ujian tahap keselamatan (5-Star Safety Rating). Akhirnya dengan pelancaran Inspira, Proton telah mempunyai model yang menerima rating keselamatan tertinggi untuk sedan keluaran mereka dengan dilengkapi ABS, EBD dan beberapa ciri keselamatan standard lain.


Melihat kepada bahagian dalaman, Proton Inspira 2.0 sebagai varian tertinggi dilengkapi kusyen dengan balutan kulit, pendingin udara (air-cond) dengan kawalan suhu sepenuhnya (fully automatic climate control), dan ‘auto-cruise’ untuk pemanduan lebih santai terutamanya ketika berada di atas lebuh raya. Untuk varian 1.8, kusyen dengan kemasan fabrik disediakan. Kesemua varian disediakan dua beg udara (airbag) untuk pemandu dan penumpang hadapan untuk lebih keselamatan. Antara ciri-ciri unik lain ialah ‘trunk remote control’, bermakna kini tugas untuk membuka bonet kereta menjadi lebih mudah hanya dengan menggunakan remote control.

Untuk kemasan luar, terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikesan berbanding model Lancer seperti yang kita lihat pada model GT dan EX. Bumper hadapan termasuk jeriji (grille) dan bumper belakang Proton Inspira direka semula dengan rekaan terbaru dan bagi saya hasilnya seperti yang kita dapat lihat boleh dikatakan menarik dan sporty. Varian 2.0 mempunyai spoiler kecil di atas bonet belakangnya sebagai hiasan selain untuk visual yang lebih bergaya dan sporty.