Persona Elegance



Proton Persona Elegance hadir dengan tiga varian berbeza iaitu Base Line (model asas), Medium Line (model pertengahan) dan High Line (model premium). Persona Elegance masih dikuasai oleh enjin Campro 1.6 liter dengan teknologi IAFM yang menjana kuasa 110bhp@6,500rpm dan tork sebanyak 148Nm@4,000rpm. terdapat perubahan baru yang dilakukan Proton. ECU 16-bit sebelum ini telah digantikan dengan ECU 32-bit dan kesannya respon terhadap kuasa enjin menjadi lebih sensitif dan pemanduan menjadi lebih lancar.






Model High Line mempunyai balutan kusyen daripada kulit dan dilengkapi sistem cruise control, tambahan sistem navigasi GPS bagi model High Line dan Medium Line. Balutan kusyen model Medium Line dan Base Line diperbuat dari kain jenis fabrik yang baru. Sistem pemain audio kali ini dibekalkan unit single-DIN dari Blaupunkt dan mempunyai lubang kemasukan USB yang kini menjadi ciri-ciri wajib bagi sistem hiburan audio di dalam kereta. Menurut Proton, mereka juga menaik taraf sistem pengurangan bunyi bising (NVH) dengan penambahan material baru agar kualiti bunyi di dalam Persona Elegance ini menjadi lebih senyap, bukan saja untuk pemanduan yang lebih selesa, tetapi juga untuk mendapatkan kualiti bunyi sistem audio yang lebih berkualiti.
Dengan harga terkini Persona Elegance antara RM46,499.00 sehingga RM59,499.00, anda akan mendapat sebuah kereta sedan yang menarik, mempunyai ruang penumpang yang selesa, bonet tempat simpanan barang yang luas, tahap pengawalan yang bagus dan cekap hasil talaan Lotus, serta enjin 1.6 liter yang berkuasa berbaloi untuk dimiliki.

Proton Persona Elegance boleh didapati dalam lima warna yang berlainan iaitu Chiffon Green, Bronze Garnet, Tranquility Black, Genetic Silver dan Brilliant Red. Sebelum ini saya pernah melihat Proton Persona berwarna putih, tidak diketahui pula kenapa Proton Persona Elegance tidak didatangkan dengan warna putih, kalau tidak pasti gaya sebuah Persona Elegance menjadi lebih eksekutif dan mewah.
Harga Proton Persona Elegance :
Base Line (M) RM46,499.00
Base Line (A) RM49,499.00
Medium Line (M) RM52,999.00
Medium Line (A) RM55,999.00
High Line (A) RM59,499.00